KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kontroversi, kerajaan hari ini mengumumkan kadar harga baru tanah Kampung Baru berjumlah RM1,00O sekaki persegi.

Pengumuman itu dibuat Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad selepas perbincangan yang dibuat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan kemelut pelan pembangunan kampung itu.

Tawaran yang diumumkan itu disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan.

“Saya kira ini tawaran yang akhir dan yang terbaik yang ingin dikemukakan kerajaan kepada semua pemilik tanah Kampung Baru,” katanya semasa sidang media khas hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM150 kaki persegi akan diberikan kepada pemilik melalui pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal dibentuk.

“Perincian dari struktur pegangan saham akan diperhalusi, diperinci dan dimuktamadkan agensi-agensi kerajaan sebelum perjanjian ditandatangani.

“Saham ini bermakna pemilik kekal atas tanah yang dibangunkan,” katanya.

Khalid berkata baki RM850 kaki persegi itu akan ditawarkan menerusi empat pilihan yang akan dibuat pemilik.

Empat tawaran yang diberikan kepada pemilik untuk membuat pilihan ialah:

  • Pemilik akan menerima pulangan tunai
  • Pulangan unit siap (rumah)
  • Kombinasi pulangan tunai dan unit siap (rumah)
  • Pegangan saham dalam SPV

Selain itu, katanya, mana-mana pemilik yang membeli hartanah di kawasan pembangunan itu juga akan diberikan diskaun sebanyak 15%.

Khalid berkata, keputusan tawaran yang diberikan kepada 825 pemilik lot di Kampung Baru itu dibuat selepas dua siri pertemuan bersama perdana menteri.

Khalid juga mengalakkan pemilik asal Kambung Baru memberi rumah yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan supaya identiti mereka kekal di sana.

“Saya harap, pemilik asal beli rumah yang kita bina dalam pembangunan baru nanti. Kita nak galakkan orang Kampung Baru duduk dan datang balik ke Kampung Baru.

“Saya nak beli, nak jual pada Melayu. Kalau jual harga tinggi Melayu tak mampu beli. Kita beli harga Melayu, kita jual harga Melayu juga,” katanya sambil menafikan dakwaan beliau ingin menggadai hak Orang Melayu dengan pembelian tanah Kampung Baru.

Pembangunan Kampung Baru akan melibatkan keluasan 153.46 ekar tanah.

Antara cadangan pembangunan adalah pembinaan menara mercu tanda 90 tingkat.

Berdasarkan konsep pelan pembangunan yang dicadangkan, terdapat 10 komponen pembangunan merangkumi Taman Warisan Kampung Baru; Pusat Seni, Persembahan dan Kebudayaan Melayu; Kompleks Warisan Melayu dan Residensi “Park View” yang merupakan kediaman ekslusif berdepan Taman Warisan Kampung Baru.

Selain itu, komponen ke-5 turut merangkumi Residensi Wilayah yang memuatkan kawasan perumahan mampu milik Residensi Sederhana Padat, Residensi Kepadatan Tinggi, Kawasan Pembangunan Bercampur, Koridor Perdagangan yang merangkumi menara, pejabat dan hotel serta komponen institusi.

Pelan pembangunan itu turut menggariskan 50% atau 45,000 kediaman yang dibina adalah kediaman mampu milik berbanding 4,500 kediaman sedia ada sekarang.

Pelan itu antara lain turut mensasarkan penduduk akan bertambah kepada seramai 160,000 orang dengan pembangunan tersebut. Manakala 85 juta kaki persegi ruang lantai dijangka akan dibangunkan.

Bagi rancangan pembangunan ini ia melibatkan kira-kira 825 lot tanah dengan 5,359 penduduk dijangka terlibat dalam perolehan berkenaan.

Pelan konsep pembangunan itu juga akan memperuntukkan 28 ekar sebagai kawasan Taman Warisan dan 10% daripada 9 juta kaki persegi ruang lantai pembangunan komersial diperuntukkan kepada komersil mampu milik.

Khalid dalam sidang medianya juga berkata, daripada 2,500 borang maklum balas yang dikeluarkan ketika sesi pertemuan bersama penduduk pada Sept, 1,371 maklum balas sudah diterima dan daripada jumlah itu, katanya 96% sudah menyatakan persetujuan mereka.

“Ini tawaran terakhir, apa kita akan buat selepas ini adalah turun dan bertemu pemilik setiap lot dan jelaskan. Sama ada mereka setuju atau tidak biar atas dasar pemahaman jelas… saya rasa mereka masih ada yang tidak faham,” kata Khalid.

Tarikh akhir bagi penyerahan borang maklum balas itu ditetapkan pada 30 Nov depan, kata Khalid.

Sept lalu, Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula tanah tersebut.

Pada 22 April, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi petempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau “runcit” oleh pemilik tanah bersama pemaju.