JOHOR BAHRU, 27 DIS : Sebuah kereta api dari Gemas ke Johor Bahru yang membawa 24 penumpang dan empat staf tergelincir dari landasan di kilometer 752.75 (arah selatan) berhampiran Kampung Kurnia, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata kejadian jam 7.49 malam itu melibatkan lima gerabak iaitu tiga gerabak penumpang, satu gerabak generator dan satu gerabak enjin.

Mohd Padzli memaklumkan kesemua penumpang dan staf Keretapi Tanah Melayu itu (KTM) tidak mengalami kecederaan dan mangsa terlibat telah dipindahkan menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke JB Sentral.

Sementara itu, KTM memaklumkan landasan yang terletak berhampiran projek landasan berkembar telah mendap terlebih dahulu sebelum kereta api melaluinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin berkata ketika ini perkhidmatan tren akan ditamatkan di Stesen Kempas Bahru sementara kerja-kerja pemulihan trek dijalankan di kawasan terbabit.

Pihak KTMB dalam pada itu memohon maaf kepada penumpang terlibat dalam kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – AWANI