GERIK : Tiga maut, termasuk dua beradik manakala tiga lagi, termasuk dua bayi, cedera parah apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat Lawin awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta jenis Honda Accord, Mohd Azli Faizal Mansor, 33 dan penumpang pacuan empat roda jenis Mitsubishi, Rozita Khayri, 33 dan adiknya, Rashidah, 29

Mangsa yang cedera parah pula ialah anak Rozita, Adam Rais Zulfahan, 1 dan dua anak Rashidah Muhammad Irfan Daniel Muzhaffar, 8 dan Amanda Rafania Deyana, 1.

Seorang lagi anak Rashidah, Muhammad Harazz Darwish, 3 tidak mengalami kecederaan manakala pemandu pacuan empat roda, Mohamad Ridzuan Khayri, 22 hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superinten Ismail Che Isa berkata,
kejadian berlaku kira-kira jam 12.10 pagi ketika kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik manakala kenderaan pacuan empat roda dari Kelantan ke Batu Kurau.

“Apabila tiba di tempat kejadian dipercayai kereta telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung di laluan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Rozita dan Rashidah meningg dunia di Wad Kecemasan Hospital Gerik.

Tiga mangsa yang cedera parah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh manakala pemandu pacuan empat roda di rawat di Hospital Gerik.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.