BATU GAJAH: Dua rakan sekerja maut setelah kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori treler dalam sebuah kemalangan di Kilometer 20, Jalan Ipoh-Lumut di sini pada awal pagi Selasa.

f1e038a6-cf73-486a-830d-72bf84ce5724

Dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, Chin Jia Kent, 23 dan Ooi Seow Keat, 30, maut di tempat kejadian setelah kenderaan pacuan empat roda mereka bertembung dengan lori treler berkenaan.

dcc00178-508e-4ff7-99bd-85b7cd9754e6

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata kedua-dua rakan sekerja itu merupakan pekerja di sebuah kilang di Sitiawan.

“Siasatan awal di tempat kejadian berlaku apabila lori treler yang menghala ke Ipoh itu berada di lorong kiri,tiba-tiba ternampak kenderaan mangsa datang dari arah hadapan disyaki melawan arus lalu lintas.

“Sehubungan itu, pemandu lori treler tidak dapat mengelak lalu berlanggar secara berhadapan dengan kenderaan mangsa,”katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, berikutan impak rempuhan itu kedua-dua mangsa telah maut di tempat kejadian.

Nasri berkata, pemandu lori treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan tersebut menyebabkan kerosakan teruk di bahagian kedua-dua kenderaan mangsa.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah bagi tujuan bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya kepada pemberita.