SLIM RIVER: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Pekan Trolak, dekat sini, malam tadi.

Pemandu kereta Proton Saga BLM, Nur Shafik Hasrul Nuruddin, 29, meninggal dunia ditempat kejadian, manakala rakannya, Mohd Ramadhan Abu Bakar, 26, mengalami kecederaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.04 malam.

“Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke arah utara sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.

Operasi menyelamat yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman tamat jam 8.05 malam.