KUALA LUMPUR: Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita terperosok ke dalam lubang yang terjadi akibat tanah mendap di Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian kira-kira 11.35 malam itu, mangsa sedang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi apabila tanah di lokasi berkenaan mendap menyebabkan keretanya terperosok ke dalam lubang akibat mendapan itu.

“Siasatan awal mendapati mendapan tanah di lokasi berkenaan mengakibatkan lubang seluas tiga meter persegi. Mangsa yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata operasi membaik pulih laluan terbabit sudah dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN166/59). – BERNAMA