KUALA KURAU – Penduduk tinggal berdekatan Masjid Kampung Batu 7, di sini, terkejut apabila sebuah kereta dipandu seorang remaja terbabas dan merempuh tembok masjid itu, kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu.

Petugas masjid berkata, sewaktu kejadian, jemaah sudah pulang selepas solat Isyak, manakala dia sedang minum di kedai berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah masjid.

Menurutnya, dia terkejut mendapati bahagian hadapan kereta merempuh pagar masjid sehingga menyebabkannya runtuh.

“Pemandunya lingkungan 20an dan rakannya berada di sisi kereta dalam keadaan tergamam. Berdasarkan cerita pemandu, mereka nak ke Parit Buntar, sebelum buat pusingan U mengejut di jalan depan masjid.

“Pemandu itu baru dapat lesen dan tak mahir sangat dengan kereta automatik. Mungkin sebab panik dan tersalah tekan pedal, itu yang langgar tembok,” katanya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan berharap keluarga pemandu bertanggungjawab membaik pulih sebahagian kerosakan.

-SinarHarian