Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Sebuah kereta terbakar setelah terbabas dan melanggar besi penghadang jalan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, petang ini.

Keadaan kereta yang marak terbakar itu sempat dirakamkan oleh pengguna lebuh raya yang melalui kawasan tersebut yang kemudiannya tular di media sosial dan kumpulan mesej WhatsApp.

Dalam satu makluman awal, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada pukul 6.01 petang lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Kami menerima makluman tentang kemalangan melibatkan tiga mangsa dalam sebuah kereta yang terbabas.

“Operasi penyelamatan yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Dzulkifli Kassim masih lagi berjalan buat masa ini dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.