GERIK: Lima sekeluarga cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 58.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli dekat sini, hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.56 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menjalankan operasi menyelamat dengan dibantu anggota dari BBP Jeli, Kelantan.

“Operasi menyelamat menggunakan tali dengan kaedah ‘lowering’ dan ‘hauling’ bagi membawa mangsa ke tempat yang selamat sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak dikatakan dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli.

Menurutnya, kedalaman gaung tersebut dianggarkan lebih 60 meter daripada jalan raya.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.