IPOH: Kerja-kerja penambahbaikan `Dream Zone’ di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini dijangka dapat disempurnakan pada penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, pembinaan zon itu sebenarnya telah siap pada hujung Ogos lalu.

Namun, kata beliau, pemilik harta intelek, `Dreamworks’ telah mensyaratkan agar dibuat penambahbaikan audio dan pencahayaan serta semakan tambahan seperti `design dreview, `control review’ dan `structure intergruty review’ ke atas `rides’ di salam zon tersebut.

“Sehingga kini hanya satu daripada keseluruhan enam zon iaitu `Dream Zone’ yang masih belum dibuka kepada pelanggan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff (BN-Selama) di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, setakat ini, PCB Development Sdn Bhd (PCB) memegang 51 peratus sahama MAPS manakala bakinya dipegang RSG Maps Sdn. Bhd. (34.7%) dan Ramelle Ashram Ramli (14.3%).

Katanya, sejak pembukaan MAPS pada 26 Jun hingga 31 Oktober 2017, jumlah perbelanjaan operasi, tidak termasuk kos pembiayaan dan perbelajaan modal (CAPEX) ialah RM18 juta.

“Ia dibiayai daripada hasil jualan tiket, wang pendahuluan daripada pemegang syer dan geran Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS),” ujarnya.

Pada satu ketika, sidang DUN kecoh apabila pembangkang terus mendesak Zahir memberi jawapan mengenai kos yang dibelanjakan PCB untuk membeli saham-saham sehingga boleh menguasai sehingga 51 peratus.

Kekecohan bermula apabila Wong Kah Who (DAP-Canning) yang bertanya soalan tambahan tidak berpuas hati dengan jawapan Zahir bahawa beliau tidak boleh memberi jawapan kerana ia melibatkan data dan butiran terperinci.

Dewan kecoh kira-kira 15 minit apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil rakyat pembangkang dan Speaker, Datuk S. Thangeswary yang turut disertai wakil rakyat kerajaan.