PETALING JAYA: Peluang Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cerah apabila beliau kemungkinan akan menang tanpa bertanding dalam pemilihan kongres badan induk itu, 14 Julai depan.

Pencalonan bagi merebut kerusi panas itu kembali dibuka hari ini selepas Exco FAM dalam Mesyuarat Khas Pertama Bagi Penggal 2017-2021 menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 25 Mac lalu.

Biarpun dalam perlembagaan FAM membenarkan sesiapa saja dalam kalangan rakyat Malaysia bertanding merebut jawatan itu pada kongres nanti, namun mereka perlu mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.

Dan melihat kepada sokongan padu Exco FAM ketika ini, kemungkinan besar Hamidin yang juga setiausaha agung tidak akan dicabar apabila pengumuman calon dibuat pada 11 Mei ini.

Hamidin yang menyandang jawatan tugas setiausaha agung sejak 2013 di bawah teraju tiga presiden iaitu Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail mengharapkan pemilihan kali ini berjalan lancar tanpa pertandingan meskipun beliau bersedia berdepan mana-mana calon.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail, mendapatkan pandangan presiden dan setiausaha persatuan bola sepak negeri dan kelab, saya mengesahkan untuk bertanding pada kongres nanti.

“Bola sepak negara berada di kedudukan bawah, jadi seperti yang TMJ mahukan satu peralihan kuasa yang lancar. Walaupun statut FAM membenarkan sesiapa rakyat Malaysia untuk bertanding, tapi mereka kena fikirkan kebaikan bola sepak, kita harap ada satu calon saja, kita nak bergerak dalam satu pasukan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu hari ini.

Sebelum ini ada beberapa nama disebut untuk dicalonkan merebut jawatan itu termasuk pemilik kelab Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes dan pemilik kelab Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan selepas Tunku Ismail sah mahu meletakkan jawatannya selepas genap setahun menerajui FAM.

Bagaimanapun, selain sokongan padu Exco dan ahli gabungan, Hamidin tampak memiliki kelebihan ketara memandangkan beliau turut mendapat restu TMJ.

“Secara peribadi ini (jawatan presiden) destinasi terakhir saya. Kita tunggu 14 Julai nanti sama ada saya menang atau tak, ada dalam FAM lagi atau tidak. Saya tidak akan ada lagi sebagai Setiausaha Agung FAM,” jelas Hamidin yang mengakui belum memikirkan siapa penggantinya untuk menerajui sekretariat badan induk itu selepas ini – berita harian