Oleh: Noor Aida Abdul Aziz

TAIPING – Tujuh tahun lalu, masa depan kerjaya Ummu Khaulah Azhari, 30, yang baru tamat pengajian di maktab perguruan kelihatan kelam apabila dia menghadapi kesukaran bergerak berikutan kemalangan yang hampir menyebabkan beliau hilang fungsi kakinya.

Namun, guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, di sini, bangkit penuh semangat meskipun terpaksa bertongkat dan berkerusi roda demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab mendidik para pelajarnya.

Ketika ditemui Suara Perak, guru wanita tersebut tidak sedikit pun menganggap kekurangan upaya kakinya itu menjadi halangan kepada beliau untuk berbakti dan mencapai kejayaan demi kejayaan dalam mencipta inovasi proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolahnya.

Sepanjang perkhidmatannya selama tujuh tahun ini, anak sulung daripada enam orang adik beradik itu telah memenangi pingat emas dan perak dalam Pertandingan Guru Inovatif anjuran Jabatan Pendidikan Perak.

9ff68dd3-cd5d-4b93-8cec-cdbbf05d2420

Beliau berkata, sebelum menerima sumbangan kerusi roda yang digunakan semasa mengajar dan bergerak di sekolahnya, dia bergerak menggunakan tongkat dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran di kelasnya.

“Pada saya, tidak kiralah sama ada kita berkerusi roda,bertongkat atau sakit sekalipun, ia tidak menjadi masalah kepada saya kerana di atas kerusi roda ini, saya ada kawalan kelas yang berlainan daripada guru-guru lain.

“Menjadi seorang guru ini tidak mengira masa, duit atau tenaga. Yang penting, apabila murid-murid gembira, mereka mudah faham dan akan berjaya mencapai ilmu serta kejayaan,” katanya ketika ditemui di sekolahnya pada Selasa.

Pada hari ini, seluruh Negara meraikan sambutan Hari Guru sebagai menandakan penghormatan dan penghargaan kepada golongan pendidik di segenap peringkat sama ada di tadika, sekolah, kolej mahupun universiti.

Ummu Khaulah menjadi lambang kegigihan golongan pendidik yang senantiasa berkorban masa dan tenaga malah wang ringgit demi memastikan anak-anak didiknya memahami ilmu yang diajar dan seterusnya mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Menjelaskan insiden kemalangan motosikal beberapa tahun lalu, guru yang masih bujang ini berkata, kecederaan akibat kemalangan itu menyebabkan tempurung lutut kaki kirinya bermasalah selain kecederaan ligamen yang serius.

“Alhamdulillah, walaupun peristiwa itu terjadi, saya tidak pernah patah semangat lebih-lebih lagi menerima dorongan daripada keluarga, rakan-rakan dan guru-guru di sini,” ujarnya.

b7a2296d-248a-4d1e-92a6-1a55edcb6423

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Treacher Methodist, Kasma Mohamad Saiid kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Ummu Khaulah.

“Walaupun beliau agak terhad pada fizikalnya, tetapi Ummu Khaulah menjadi orang belakang tabir sekolah ini dalam program-program besar di sekolah, khususnya yang berkaitan penggunaan ICT, dialah salah seorang guru pakar rujuk di sekolah ini,” ujarnya.

Penyelia Pendidikan Pencegahan Dadah di Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Norehan Yusof pula berpandangan, semangat dan pencapaian Ummu Khaulah wajar dicontohi oleh semua pihak.

“Bagi pihak PPD LMS, kita sangat mengagumi Cikgu Ummu. Beliau langsung tidak menggunakan kekurangan fizikal sebagai alasan untuk tidak menyumbang kepada perkembangan murid-murid di daerah ini,” katanya.