PUTRAJAYA : Malaysia pertama kali mencatatkan peningkatan kes harian empat angka hari ini dengan 1,228 kes baharu, tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 25,742 kes.

Katanya, Sabah kekal menyumbang peningkatan kes tertinggi hari ini iaitu 889 kes atau 72.4 peratus kes dicatatkan.

“Selain Sabah, negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 95 kes atau 7.7 peratus. Sabah dan Lembah Klang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 671 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 16,551 kes atau 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.