TELUK INTAN: Kes pelajar sekolah di Perak amat membimbangkan kerana ia menunjukkan trend meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, berdasarkan ujian air kencing secara rambang di kalangan pelajar, bilangannya meningkat dari 4.2 peratus pada tahun 2015 kepada 4.94 peratus tahun lalu.

Beliau memberitahu, seramai 3,542 pelajar yang menjalani ujian air kencing, 148 daripadanya positif dadah manakala daripada 3,970 pelajar yang menjalani ujian air kencing pada 2016, 194 didapati positif dadah.

“Apa yang lebih membimbangkan, dalam suku pertama tahun ini, daripada 1,105 pelajar yang menjalani ujian air kencing, sudah ada 74 positif dadah.

“Kerajaan negeri merasakan ia amat-amat membimbangkan dan memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis penutup Karnival Seni Jauhi Dadah di SMK Seri Setia, dekat sini pada Rabu.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak, Suhaimi Mansor dan Pengetua SMK Seri Setia, Rafie Ravi Abdullah.

Shamsudin yang juga Pengerusi PEMADAM Perak berharap semua pihak, termasuk guru-guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat dapat memainkan peranan untuk membantu menangani masalah dadah di kalangan pelajar sekolah.

“Guru-guru tolong awasi pelajar ketika dalam kawasan sekolah manakala sahabat PEMADAM, JKKK dan pemimpin masyarakat tolong awasi pelajar di luar kawasan sekolah.

“Jangan hanya menuding jari kepada kerajaan, polis, AADK, PEMADAM dan pihak berkuasa lain untuk mengambil tindakan tetapi semua kita mesti sama-sama membantu,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Samsudin menyampaikan sumbangan RM15,000 untuk program pendidikan dan pencegahan dadah (PPDA) dan kecemerlangan SMK Seri Setia.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada peserta dan pemenang pertandingan yang dianjurkan sepanjang karnival itu.