IPOH: Perak mencatatkan 1,351 kes demam denggi bagi tempoh Januari hingga 2 Mei tahun ini berbanding 1,214 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 11.3 peratus.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, daerah Kinta mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun 2020, iaitu sebanyak 776 kes, diikuti daerah Batang Padang 126 kes dan Larut Matang Selama (LMS) ketiga tertinggi dengan catatan sebanyak 96 kes.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati punca utama kejadian demam denggi adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti terbabit.

\”Antara tempat – tempat pembiakan nyamuk yang ditemui adalah di longgokan – longgokan sampah haram, di lot – lot kosong terbiar, rumah/premis kosong tidak berpenghuni terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP).

\”Sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di tempat – tempat awam, serta tidak menghiraukan kebersihan sekeliling adalah penyumbang utama kepada pembiakan nyamuk Aedes dan demam denggi,\” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, terdapat 29 lokaliti wabak dilaporkan di Perak pada 18 minggu pertama tahun ini dimana 6 lokaliti hotspot (wabak berlarutan melebihi 30 hari), 2 wabak tidak terkawal (wabak berlarutan melebihi 14 hari) dan 21 lokaliti wabak terkawal (wabak dalam tempoh 14 hari dari tarikh pengisytiharan wabak).

Lima dari enam lokaliti hotspot denggi adalah dari daerah Kinta, iaitu Kampung Chepor Tambahan (19 kes), Kampung Tersusun Batu 10 (25 kes), Taman Klebang Jaya (11 kes), Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 (30 kes) dan RPT Chepor (19 kes).

\”Terdapat satu lokaliti hotspot denggi di daerah Batang Padang iaitu Taman Bukit Hijau (17 kes). Sehingga 2 Mei 2020, satu kematian Demam Denggi telah didaftarkan di Daerah LMS pada awal Januari 2020.

\”Untuk tahun ini, sehingga 2 Mei 2020, sebanyak 4484 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes telah ditemui di Negeri Perak,\” katanya.

Jelasnya lagi, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian ini, antaranya seperti pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan di premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang.

Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dimana 743 kompaun dan 115 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes.

Ujarnya, aktiviti ‘larvaciding’, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) turut dilaksanakan di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di negeri ini.