IPOH: Kes demam Denggi di Bandaraya Ipoh meningkat sebanyak 238.9 peratus sejak Januari hingga 13 Jun, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 888 kes dilaporkan tahun ini dengan satu kematian, berbanding 262 kes tahun lalu, tanpa sebarang kematian.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, selain isu pandemik COVID-19, kerajaan negeri memandang serius kes Denggi dan Chikungunya yang menunjukkan peningkatan ketara.

“Kerajaan negeri Perak memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk memastikan penurunan kes akan berjaya kita capai untuk kedua-dua wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program gotong royong bersepadu di Pasar Awam Kampung Baru Buntong di sini, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli Dewan Undangan Buntong, A. Sivasubramaniam.

Untuk makluman, kawasan Buntong juga merupakan antara ‘hot spot’ dengan mencatatkan 10 kes Denggi dan 18 Chikungunya tahun ini.

Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan tumpuan awam seperti pasar awam, taman rekreasi dan tanah perkuburan.

Menurutnya, antara kawasan ‘hot spot’ di Ipoh ialah Taman Klebang Jaya dengan 26 kes, Kg Simee (18), Cherry Apartment (16), Kampung Baru Pasir Pinji (23 ), Taman Wah Keong (5) dan Kg. Cempaka Sari (10).

Katanya, lokaliti wabak tidak terkawal pula ialah Kg. Bercham dengan 6 kes, Teluk Kurin B (7), Kg Sungai Tapah Tambahan (16) dan Pekan Razaki (7).