IPOH: Kes demam denggi di kawasan bandar raya Ipoh dilihat semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan kes melebihi 140 peratus sejak awal tahun ini.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sehingga 24 Oktober lalu, sebanyak 1,165 kes denggi telah dilaporkan, mencatatkan peningkatan sebanyak 680 kes atau 140.2 peratus dengan satu kematian berbanding 485 kes tanpa kematian yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, bagi kes demam chikungunya pula, secara kumulatif, sebanyak 583 kes telah dilaporkan untuk Daerah Kinta setakat 26 Oktober lalu.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan kesedaran denggi dan chikungunya yang diadakan sejak Jun 2020, telah dapat membantu dalam menurunkan jumlah lokaliti wabak.

“Penurunan direkodkan daripada 35 lokaliti demam denggi pada 15 Jun 2020 kepada sifar pada 16 Oktober lalu sehingga ke hari ini. Ia bermaksud tiada lokaliti ‘Hot Spot’, Wabak Tidak Terkawal atau Wabak Terkawal untuk kes denggi dan chikungunya,” kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, langkah pencegahan, kawalan dan program kesedaran kesihatan bagi mencegah kes jangkitan demam bawaan nyamuk itu giat dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam Ipoh sejak Jun 2020.

Selain itu, katanya, pelaksanaan program gotong royong dengan kerjasama daripada pihak berkuasa negeri dan wakil rakyat juga telah berjaya menurunkan kadar kes denggi.

Sehubungan itu, MBI memohon kerjasama wargakota supaya meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk melakukan pemeriksaan jentik-jentik dan aktiviti pembersihan kendiri di kawasan rumah masing-masing.

MBI berharap usaha penjagaan kebersihan itu dipertingkatkan dan dilakukan secara berterusan bagi mengawal kes demam denggi.