IPOH, 26 NOV – Kes keganasan rumah tangga di Perak yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meningkat kepada 57 setakat ini, berbanding 36 kes pada tahun lalu dan 41 pada tahun 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pihak JKM sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di samping menerima aduan melalui talian Nur Kasih.

Menurutnya, jika berlaku sebarang kes, pihak JKM akan bertindak segera mengikut lunas undang-undang di samping memberi kaunseling.

“Tentulah apabila berlaku pergerakan yang dikawal ini, iaitu untuk kebaikan semua terhadap pandemik COVID-19 ini maka sedikit sebanyak akan timbul pelbagai perkara seperti ketidak sejahteranya hubungan dalam kekeluargaan, berlaku perkara stress, bukan saja stress terhadap fizikal tapi juga terhadap mental dan sebagainya.

“Memang pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat memang memantau dan juga memberi kaunseling dan bimbingan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan keganasan rumah tangga di Taman Meru 2C, Ipoh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari sejak 20 November lalu.

Beliau mengakui keadaan persekitaran yang tidak kondusif turut menyumbang kepada kes-kes keganasan rumah tangga.

Menurutnya, kerajaan memang mengambil prihatin tentang perkara itu dan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke semasa.