KUALA KANGSAR: Kes kematian akibat aktiviti air di Perak jauh lebih tinggi berbanding kes-kes kematian yang disebabkan kebakaran.

Pada tahun 2019, sebanyak 24 kematian di air direkodkan, berbanding 11 kes akibat kebakaran dan untuk tahun ini, 23 kes kematian di air direkodkan setakat ini, berbanding hanya 8 kes akibat kebakaran.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman, berkata, memasang kotak keselamatan yang mengandungi peralatan menyelamat di air di 11 kawasan panas di seluruh negeri itu.

“Kotak ini mengandungi jaket keselamatan dan apabila ada sesuatu kes, pengunjung lain boleh menggunakan jaket ini.

“Apabila dia membuka kunci kotak berkenaan, siren akan berbunyi, sekaligus akan menyedarkan pengunjung-pengunjung lain tentang adanya kes yang perlu diselamatkan,” katanya.

Beliau ditemui ketika Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Di Air di Taman Eko-Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Cawangan Program Kesedaran dan Keselamatan Awam JBPM, Nik Zulkifli Ibrahim.

Menurut Azmi, 11 kawasan panas aktiviti air yang dikenalpasti di Perak ialah tiga di kawasan pantai, lima di air terjun, dua tasek dan satu di sungai.

Katanya, setakat ini dua kotak telah dipasang manakala baki sembilan lagi akan dipasang sebelum hujung tahun ini.

Menjelaskan lanjut, beliau memberitahu, di dalam kotak itu juga mengandungi beg mengandungi tali yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa lemas.

“Ada juga kotak perubatan yang boleh digunakan untuk memberi rawatan awal kepada mangsa, sementara menunggu bantuan tiba,” ujarnya.

Azmi berharap orang ramai dapat menggunakan peralatan yang disediakan itu sebaik mungkin di samping menjaganya dengan baik.