IPOH – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelajar lain yang menjadi mangsa liwat, berikutan kes yang berlaku di sebuah sekolah di Ipoh, baru-baru ini.

Exco Pendidikan Negeri Perak, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, siasatan akan dilakukan secara sulit bagi menjaga maruah pelajar dan keluarga yang terlibat.

Menurutnya, hanya tiga pelajar sahaja tampil membuat laporan polis melibatkan suspek  yang juga seorang jurulatih bola sepak dari luar sekolah berkenaan buat masa ini.

“Saya dah pun berbincang dengan jabatan pendidikan untuk mencari kaedah sesuai bagi mengenal pasti adakah lebih ramai lagi pelajar lain yang menjadi mangsa.

“Ada kemungkinan mereka malu atau kes ini hanya melibatkan tiga pelajar itu sahaja. Kita akan lakukan siasatan ini secara dalaman dan sulit bagi menjaga maruah mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, tiga mangsa yang terlibat itu telah pun mengikuti sesi kaunseling bagi membantu mereka menjalani kembali kehidupan normal sebagai pelajar .

“Kita akan cuba bantu untuk hilangkan trauma dan yang lebih penting mereka dapat mengikuti kelas dalam bilik darjah seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada tiga pelajar berusia 14 dan 15 tahun mendakwa diliwat seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai jurulatih pasukan bola sepak sekolah terbabit.

Kejadian dilaporkan berlaku dari Mei 2016 hingga Mac 2017 di rumah suspek dan bilik hotel.

Bagaimanapun, suspek yang bekerja hampir 10 tahun sebagai jurulatih dijumpai mati dalam keadaan tergantung dalam bilik sebuah hotel di Ipoh pada 25 Julai lalu.

-SinarHarian