IPOH: Kes pencemaran sungai sehingga menyebabkan gangguan bekalan air bersih di Selangor baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran supaya tidak berlaku di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, buat masa ini, bekalan air di Perak masih stabil, khususnya dari segi kapasiti.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang terjadi di Selangor perlu menjadi pengajaran yang amat berguna kepada pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat khususnya.

“Isu air ini menjadi parah bila berlakunya pencemaran air di sungai, ini yang berlaku di Selangor.

“Begitu juga di Perak, jika Sungai Perak atau mana-mana anak sungai utama tercemar, mimpi ngeri tanpa air ini boleh berlaku di Perak,” katanya ketika wawancara bersama PerakFM di sini, hari ini.

Menurutnya, Sungai Perak merupakan sumber utama bagi Lembaga Air Perak (LAP) untuk meyediakan air terawat kepada rakyat.

Lebih parah lagi, kata Zolkafly, jika bekalan air di Perak tiada, ia juga akan menyebabkan ketiadaan elektrik kerana Janakuasa Elektrik di Manjung yang merupakan sumber utama yang menyalurkan elektrik di seluruh negeri dan 25% di Semenanjung turut mengunakan air bersih sebagai bahan utama dalam proses menghasilkan elektrik.

Oleh itu, tambahnya, isu pencemaran Sungai Perak Perak tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak supaya bersama-sama menjaga sungai-sungai di negeri ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk Penubuhan Badan Kawal Selia Air Negeri Perak yang akan bertanggungjawab merancang, mentadbir, mengurus dan menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan sumber air mentah sentiasa mencukupi serta berkualiti untuk kegunaan rakyat.

Menurutnya, cadangan penubuhan badan kawal selia itu akan melalui dua kaedah, melalui kewujudan sebuah Lembaga di bawah Negeri Perak atau
melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).