GEORGETOWN: Seorang penterjemah bebas hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiga artikel berita mengenai penjualan tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital telah diterjemahkan olehnya menerusi teks yang diperolehnya.

Lee Yuk Peng, 50, berkata beliau telah menterjemah tiga artikel berita yang diberikan dalam bentuk teks kepadanya untuk diterjemahkan daripada bahasa Mandarin ke bahasa Inggeris.

“Ya. Terdapat tiga artikel yang telah diterjemah oleh saya daripada bahasa Mandarin ke bahasa Inggeris bagi tiga artikel dalam akhbar China Press, Guang Ming dan Kwong Wah Yit Poh bertarikh 29 Mei 2015 dan 9 Jun 2017,” katanya.

Beliau adalah saksi kedua plaintif berkata demikian dalam perbicaraan kes saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap kenyataan Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN, Jason Loo berhubung penjualan tanah berkenaan.

Tiga artikel yang diterjemah Yuk Peng daripada bahasa Mandarin ke bahasa Inggeris bertajuk, Jason Loo: One Man Decide, Pakatan Harapan DAP-led State Government Run By Rule of Man diterbitkan dalam akhbar China Press pada 29 Mei 2017.

Artikel kedua pada tarikh sama pula diterbitkan dalam akhbar Guan Ming bertajuk, Jason Loo Urges Lim Guan Eng to Explain Why Sell Lebuhraya Peel Land Prior to Gazette.

Artikel ketiga yang diterjemah adalah terbitan akhbar Kwong Wah Yit Poh bertarikh 9 Jun 2017 dengan tajuk, One Man Rule By Chief Minister of Penang.

Ketika ditanya peguam, Yiew Voon Lee yang mewakili akhbar China Press dan Guan Ming, sama ada beliau menterjemah nama-nama yang disebut dalam artikel secara fonetik, Yuk Peng berkata, beliau turut mencari nama-nama terbabit dalam talian bagi ejaan nama-nama.

Dalam keterangannya, Yuk Peng turut mengakui beliau menggunakan saluran carian internet bagi menterjemahkan tiga artikel daripada bahasa Mandarin ke bahasa Inggeris.

Katanya, beliau memulakan kerja-kerja penterjemahan itu sejak 2011 selepas tidak lagi berkhidmat sebagai wartawan selama 17 tahun.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, mengemukakan tiga saman terhadap kenyataan Loo pada sidang media pada 29 Mei 2017 berhubung dengan penjualan tanah terbabit.

Pada Februari 2018, Guan Eng memfailkan tiga saman fitnah secara berasingan terhadap Loo kerana dengan niat jahat membuat kenyataan palsu dan fitnah serta akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao kerana menerbitkan kenyataan berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop bersambung 29 April ini. – BERNAMA