IPOH: Kes pasangan Youtuber masakan berlarutan apabila Timbalan Pendakwa Raya belum menerima sebarang arahan lanjut penarikan balik pertuduhan M Sugu, 29 yang mendatangkan kecederaan kepada S Pavithra, 28.

Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman ketika prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, memaklumkan surat rasmi penarikan semula pertuduhan sudah dihantar kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada 4 September lalu.

Bagaimanapun, pihaknya belum menerima apa-apa arahan lanjut menarik balik pertuduhan berkenaan.

Hakim, Mohd Fauzi Mohd Ismail hari ini menetapkan 17 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah dan tertuduh diwakili peguam Jude Pereira dan Syahrul Nizam Muhamad Rabi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isteri dengan menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) antara jam 4 hingga 6 petang, 21 Julai lalu.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Syahrul Nizam memberitahu kepada mahkamah, pihaknya baru dilantik dan memohon masa untuk meneliti kesemua dokumen berkaitan kes.

Sugu turut didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana dia didapati memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis Tiger.

Sebelum ini NSTP melaporkan, Mahkamah Sesyen pada 17 Ogos lalu memerintahkan Youtuber, S Pavithra untuk menyerahkan surat rasmi menarik balik pertuduhan.