MANJUNG : Polis tidak menolak kemungkinan kes seorang warga emas menembak mati rakannya sebelum bertindak membunuh diri dalam insiden di sebuah restoran di Kampung Koh di Sitiawan,dekat sini malam tadi berpunca dari masalah peribadi yang berlaku antara kedua-dua individu terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata bagaimanapun punca kejadian masih disiasat.

Hanif berkata insiden tersebut dipercayai turut berpunca dari hutang perniagaan yang menyebabkan suspek tidak tahan selepas sering diasak mangsa untuk membayar hutang.

“Siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa kedua-duanya merupakan rakan yang telah lama mengusahakan ladang ternakan ayam dan saling berhubung dan berurusan untuk mendapatkan bekalan ayam.

“Namun, disebabkan perselisihan faham selain masalah hutang, suspek bertindak membunuh rakannya dengan melepaskan dua das tembakan di bahagian tangan kiri dan dua das di kaki kanan menggunakan senapang patah ,” katanya dalam sidang media di IPD Manjung,di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata sebelum insiden berlaku, suspek dan mangsa sedang minum teh bersama kira-kira pukul 11 malam.

“Selepas menembak mangsa, suspek melarikan diri bersama pistol mangsa dan kemudiannya beredar dari tempat kejadian menaiki kereta sebelum ditemui mati dipercayai menembak dirinya di bahagian kepala,” katanya.

Muhammad Hanif berkata pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan pistol jenis semi auto beserta kelopak peluru pada celah paha suspek dan senapang patah di tempat duduk sebelah pemandu.

“Kedua-dua mangsa dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, Chu Phan Hoo, 62, ditemukan mati dipercayai menembak dirinya sendiri di dalam kereta jenis Toyota Fortuner di tepi bangunan kedai di Simpang Dua, kira-kira enam kilometer dari lokasi dia menembak rakannya, Ling Lu King, 66.

Menurut Hanif, Lu King maut ketika untuk mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Seri Manjung.

Mayat suspek dan mangsa tersebut telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.