PASIR SALAK, 26 DIS – Kesediaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggotai Majlis Presiden kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertujuan untuk memantau dasar serta polisi kerajaan.

Ia bukanlah kerjasama politik antara parti, sebaliknya untuk memastikan dasar dan polisi menguntungkan rakyat dan tidak menjadi pertikaian.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, secara tidak langsung UMNO turut terlibat di dalam pembuatan dasar kerana wakil rakyat parti itu turut menganggotai kerajaan PN.

“Suka tidak suka, wakil-wakil rakyat UMNO duduk bersama dengan PN, kita tidak bekerjasama dari segi politik antara parti dengan parti tetapi dari segi kerajaan wakil rakyat kita yang juga wakil rakyat UMNO menyertai, menyokong PN.

“Kerajaan telah terbentuk, jadi tak kan nak biarkan kerajaan PN buat sesuka hati, tidak usah tengok, dekat atau berbincang, rugilah kita.

“Jadi kita secara langsung atau tidak kita ada kepentingan memastikan dasar-dasar kerajaan PN yang ada hari ni sehinggalah tamat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan persekolahan di bawah Program Sejambak Kasih anjuran Malaysia Dept Vebtures Berhad (MDV) di Kampung Gajah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun.

Menurut Tajuddin, beliau sendiri telah mendapatkan penjelasan daripada Ahmad Zahid mengenai pembentukan Majlis Presiden itu.

Pada Khamis, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa ‘malu’ dengan keputusan ‘aneh’ Ahmad Zahid untuk menyertai Majlis Presiden PN kerana parti itu bukanlah ahli PN.

Beliau berkata, semua pihak tidak boleh menyamakan Barisan Nasional (BN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Bersatu wujud hasil dari ‘mencuri’ orang UMNO.

Pada majlis itu, MDV menyumbangkan pakaian serta peralatan sekolah kepada 300 murid pra sekolah, sekolah rendah dan menengah yang tidak berkemampuan di sekitar Pasir Salak.