TAPAH : Ketua ARMADA Bersatu Bahagian Tanjung Malim maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 315.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, pagi ini.

Mangsa, Luth Ishak, 34, yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

Dua rakannya cedera parah manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda mengalami cedera ringan.

Pemandu lori telur pula mengalami patah kaki.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori telur dan kekacang yang dalam perjalanan menuju ke arah selatan, menukar haluan dari lorong kanan ke kiri apabila tiba di tempat kejadian.

“Lori telah dilanggar dibahagian kanan belakang oleh pacuan empat roda yang berada dilorong kiri semasa pelanggaran,” katanya hari ini.

Menurutnya, dua penumpang belakang yang cedera parah dan telah dimasukkan tiub bantuan pernafasan ialah Mohamad Noor Yassin Basharuddin, 30 dan
anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Tapah, Mohamad Azib Morni Anai, 23.

Pemandu lori dikenali Mohd Yusuf Dichroos Abdullah, 56 manakala pemandu pacuan empat roda dikenali Muhamad Aslam Abd Kudus, 26.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua ARMADA Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh turut berkongsi berita sedih itu di dalam Facebook miliknya dan memuatnaik gambarnya bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan arwah.