KUALA KANGSAR – ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad menafikan desas-desus yang beliau menerima sebuah kereta Toyota Camry baharu yang disediakan kerajaan negeri sebagai kemudahan Ketua Pembangkang DUN Perak.

Sebaliknya beliau mengesahkan bahawa pihak kerajaan negeri ada menawarkan sebuah kereta terpakai untuknya.

Menurutnya, beliau terpaksa menolak pemberian itu.

“Memang tiada dalam senarai, sebaliknya kereta baru Camry berwarna merah hanya diberikan kepada Menteri Besar dan Exco-exconya sahaja.

“Saya mereka nak beri kereta second hand (terpakai). Saya tolaknya. Adakah ketua pembangkang bertaraf second hand?,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian Lenggong yang disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kem PLKN Kota Lama, Kampung Ngor, di sini hari ini.

Bulan lalu, Kerajaan Perak mengambil langkah tepat dengan pembelian 16 kereta Toyota Camry bagi kegunaan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan membelanjakan RM1.74 juta menggantikan Proton Perdana yang dibeli pada 2014.

-SinarHarian