PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu akan diumumkan esok.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan beberapa individu termasuk dengan bekas pegawai kanan SPRM di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

“Nama Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu akan diumumkan esok. Hari ini saya berjumpa dengan beberapa individu termasuk bekas pegawai kanan SPRM,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, melepaskan jawatannya dalam suruhanjaya itu melalui satu surat yang diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, perjumpaan itu turut membincangkan mengenai kes berprofil tinggi termasuk kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah disiasat oleh pegawai kanan berkenaan.

Mengulas sama ada Dzulkifli akan dikenakan sekatan untuk ke luar negara, Dr Mahathir berkata, perkara itu terpulang kepada siasatan dan kerajaan baharu yang dinaunginya tidak akan mengambil tindakan secara melulu.

“Itu keputusan dia, dia boleh letak jawatan dan sama ada hendak pergi bercuti,” katanya.

Ditanya berapa ramai lagi pegawai kerajaan yang akan disekat ke luar negara selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti.

“Saya tidak pasti berapa orang yang perlu disekat ke luar negara.. bukan sahaja Datuk Seri Najib dan Rosmah tapi beberapa pegawai, sebaliknya Jabatan Imigresen sudah dimaklumkan mereka ini tidak dibenarkan ke luar negara,” katanya – berita harian