IPOH: Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berada dalam keadaan baik dan sihat, kata Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Beliau berkata berita mengenai Abdul Rahim sedang tenat dan nazak yang tular di aplikasi Whatsapp dan laman sosial adalah tidak benar sama sekali.

Sehubungan itu, Hasnan menasihatkan agar pengguna jaringan sosial berhenti daripada menyebarkan berita palsu itu.

“Jangan mudah terpedaya dan percaya dengan berita yang dikeluarkan oleh pihak tertentu tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan di sini. BERNAMA