PADANG TERAP: Kewujudan sebuah pacuan empat roda (4WD) mencurigakan di kawasan hutan berhampiran sempadan, di sini, membongkar cubaan menyeludup 300 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran.

Kenderaan jenis Mitsubishi itu ditemui anggota dari sub unit Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (2RRD) ketika melaksanakan pentadbiran pangkalan, sejurus selesai rondaan berhampiran Pos Batu 34 di sini, kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Berdasarkan pemerhatian, kenderaan terbabit dipercayai ditinggalkan sejak awal pagi selepas tersangkut di dalam lumpur di tengah hutan.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, pasukan diketuai Staf Sarjan Lawrence Karoni melakukan pemeriksaan ke atas 4WD itu, namun tiada orang di dalam kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu menemui 30 bungkusan plastik hitam mencurigakan yang kemudian disahkan mengandungi 300 kg daun ketum berbungkus plastik putih.

“Kita percaya cubaan menyeludup ini dilakukan warga tempatan untuk dihantar ke pagar sempadan Malaysia-Thailand sebelum diambil pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pasukan terbabit kemudian merampas kenderaan bersama stok daun ketum yang dianggar bernilai RM27,000 itu.

Katanya, semua hasil rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk siasatan dan tindakan lanjut – berita harian