PARIT: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan dakwaan kononnya beliau pergi ke Belanda ketika lawatannya ke Turki semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, menurut beliau, gambar-gambar yang ditularkan adalah gambar lama yang diambil ketika beliau berkunjung ke negara berkenaan atas kapasiti peribadi dan urusan kerja antara tahun 2016 hingga 2019.

Sehubungan itu, Khairuddin menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mendakwa beliau berkunjung ke Belanda.

“Saya ingin maklumkan saya ke Holand itu bukan sekarang, itu memang program yang sebelum ini, pada 2016, 2017 dan 2018.

“Saya ke Holland untuk projek-projek yang lain, bukan pada ketika baru ini, yang baru ni ke hanya Turki saja.

“Maka mana-mana orang yang membuat berita palsu di internet, tunggulah surat guaman daripada saya,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Aplikasi RRIMNiaga Tingkatkan Insentif Pengeluaran Getah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Seri Iskandar, dekat sini, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial termasuk blog dan Twitter yang mendakwa Khairuddin turut pergi ke Belanda selain Turki selepas didapati gagal melakukan kuarantin sekembali dari Turki Julai lalu.

Dalam pada itu, selepas memberi keterangan di Bukit Aman kerana mengingkari arahan ditetapkan untuk kuarantin selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berkangkit 1988, Khairuddin menyerahkan kepada pihak polis untuk mengumumkan perkembangan terkini.