IPOH: Jawatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini akan ditamatkan serta merta.

Dalam masa yang sama, perkhidmatan ketua-ketua kampung yang lama juga akan ditamatkan perkhidmatan mulai 1 Julai 2018.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, semua kemudahan awam, seperti dewan orang ramai yang sebelum ini dikawal selia oleh ketua-ketua kampung, kini diambil alih sepenuhnya oleh pejabat daerah atau pejabat penghulu.

Mesyuarat pertama Ahli Majli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini juga bersetuju untuk memberi fokus kepada tawaran di dalam manifesto pakatan harapan perak.

“MMK hari ini juga telah bersetuju bahawa perkara utama yang akan kita laksanakan ialah untuk memberi fokus kepada tawaran-tawaran ataupun manifesto Pakatan Harapan negeri Perak.

“Hari ini kita telah mengangkat di dalam majlis mesyuarat bahawa tawaran daripada Pakatan Harapan ini dipersetujui untuk menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan negeri sekarang,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini yang turut dihadiri oleh semua 10 ahli MMK.

Ahmad Faizal memberi jaminan bahawa kerajaan negeri yang baru tidak akan bertindak zalim terhadap penjawat awam lantikan politik, seperti guru kemas dan guru agama, kerana tidak semua mereka berlatar belakangkan politik.

Beliau memberi contoh, masih tetap menggunakan khidmat Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar terdahulu, tanpa mengamalkan sebarang diskriminasi.

“Saya dapati pertadbiran kerajaan negeri Perak, pejabat SUK, bersifat profesional. Saya amat menghargai perkara itu dan saya yakin dan percaya bahawa hubungan baik antara penjawat awam dan juga dengan pentadbiran baru ini dapat kita teruskan dengan begitu baik dan harmoni,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, pihaknya akan membincangkan mengenai kedudukan beberapa agensi kerajaan negeri yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu, contohnya Institut Darul Ridzuan (IDR).

“Namun saya berpandangan, setiap satu agensi yang telah ditubuhkan di bawah pentadbiran yang dahulu-dahulu, jika ianya boleh memberi manfaat kepada rakyat, kita akan teruskan, malah kita akan perbaiki.

“Bukanlah semata-mata kerana kita telah mengambil alih kerajaan, kita akan hapuskan segala perkara yang telah dilaksanakan sebelum ini tetapi apa yang ada tu, kita cuba perbaiki dan kita elokkan, demi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” tambahnya.

Mengenai Pangkor Dialogue yang dianjurkan oleh IDR, beliau berkata, ia akan diteruskan sekiranya rakyat mahukan program-program ilmiah seperti itu.

“Ia sama seperti kalau rakyat tidak mahu melihat ketirisan, tidak mahu melihat penyelewengan kuasa, tidak mahu melihat rasuah berlaku di dalam pentadbiran kerajaan, itu perkara-perkara yang perlu kita utamakan,” katanya.