KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas awam Nadiputra yang disediakan untuk kemudahan penduduk dan orang awam di sekitar Putrajaya tidak dapat beroperasi hari ini berikutan masalah pemandu yang tidak mahu bekerja.

Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd yang menguruskan Nadiputra dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi, memaklumkan pihaknya sedang berunding dengan pemandu terbabit untuk memulihkan perkhidmatan bas seperti biasa.

Sabtu lalu, BH mendedahkan khidmat bas Nadiputra yang disediakan untuk kemudahan penduduk Putrajaya serta orang ramai yang mahu berurusan atau melancong, kian merosot dan dikhuatiri boleh menjejaskan imej Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berkenaan.

Selain gagal mematuhi jadual perjalanan dan sering lewat, bas juga didakwa banyak mengalami kerosakan dipercayai kerana gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan perkhidmatan disediakan untuk kemudahan pengguna bertukar jadi menyusahkan.

Mengikut maklumat Kesatuan Pekerja Nadiputra, jumlah penumpang tahun ini merosot sehingga purata 76,000 sebulan, berbanding mencecah 150,000 sebulan yang direkodkan sebelum ini, dikatakan akibat pengurangan jumlah dan laluan bas kerana masalah kerosakan – berita harian