IPOH: Tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, wajar menjadi contoh kepada generasi muda hari ini dalam proses membina Malaysia Baharu.

Exco kerajaan negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Sesungguhnya sumbangan yang telah beliau curahkan kepada negara amatlah besar.

Menurutnya, sejarawan ulung kelahiran negeri Perak itu merupakan seorang tokoh akademik yang terkenal dengan pandangannya yang tajam terutamanya perkara-perkara berkaitan sejarah dan kenegaraan.

“Pemergiannya yang dilaporkan media sesuatu yang amat mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara. Sudah pastinya sosok yang banyak jasanya kepada negara ini sukar dicari ganti,” katanya hari ini.

Khoo Kay Kim meninggal dunia akibat masalah paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara sekitar pukul 10.45 pagi tadi.

Tokoh sejarawan itu merupakan anak jati Perak yang dilahirkan di Kampar pada 28 Mac 1937.

Hasnul berkata. meskipun beliau dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina, namun kefahaman dan penghayatannya terhadap sejarah dan nilai budaya masyarakat Malaysia tiada tandingan.

Katanya, beliau antara tokoh yang terlibat dalam menggubal Rukun Negara pasca tragedi hitam 13 Mei 1969 sudah pasti terpahat sebagai salah seorang arkitek kepada identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

“Mewakili rakyat Negeri Perak, saya ingin melahirkan rasa sedih atas pemergian beliau, salam takziah buat keluarga Khoo Kay Kim,” ujarnya.