BUKIT MERTAJAM: Modus operandinya sangat mudah iaitu berselindung di sebalik premis atau rumah kediaman untuk dijadikan sebagai kilang memproses soya serta kicap.

Beroperasi di lokasi yang terpencil di Kampung Mengkuang di sini sejak hampir 20 tahun lalu, tidak hairanlah kilang tersebut sukar dikesan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkenaan.

Walaubagaimana pun, kegiatan syarikat itu akhirnya terbongkar selepas serbuan dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) semalam.

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid berkata, selain menyalah gunakan premis kediaman sebagai tempat pemprosesan makanan, beberapa kesalahan lain turut dikesan dalam serbuan ke atas kilang berkenaan.

Antaranya, kata beliau, termasuk struktur bangunan yang tidak sesuai dan selamat serta penyimpanan bahan-bahan memproses makanan yang tidak dibuat dengan baik.

Pada masa sama, katanya, kebersihan premis termasuk tong-tong yang digunakan untuk menyimpan kicap juga sangat kotor dan menjijikkan manakala beberapa peralatan serta perkakasan lama yang digunakan dilonggokkan di suatu tempat dan tidak dibuang.

“Lebih serius, siasatan juga mendapati pemilik premis itu telah mengguna pakai logo halal dan MesTI tanpa kelulusan kedua-dua pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak kilang itu dibuka hampir 20 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Mohd. Wazir berkata, kicap keluaran kilang itu dipercayai dihasilkan untuk edaran ke seluruh negeri ini terutama di restoran dan kedai-kedai makan tertentu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, susulan serbuan berkenaan, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM5,500 di bawah dua kesalahan iaitu Peraturan 11(2), peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana menggajikan pekerja tanpa suntikan tifoid serta Peraturan 34 yang berkaitan kebersihan premis.

Katanya, premis itu juga dikenakan arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk kerja-kerja pembersihan.

“Kami mengingatkan pemilik kilang atau premis makanan supaya mengamalkan tahap kebersihan mengikut piawaian yang ditetapkan dan walaupun negara masih dilanda Covid-19, tidak bermakna kita (khususnya BKKM) tidak akan mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan berkaitan,” katanya. UTUSAN ONLINE