Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Golongan belia di sekitar daerah ini mungkin tidak lagi perlu berhijrah mencari pekerjaan berikutan pelaburan sebuah syarikat membangunkan kilang pemasangan trak dan lori tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan kilang tersebut kelak bakal menyaksikan 4,000 peluang pekerjaan buat penduduk tempatan.

Menurutnya ianya berikutan persetujuan sebuah syarikat pemasangan kenderaan untuk melakukan pelaburan bagi membuka kilang berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, persetujuan sudah dicapai untuk syarikat menanam modal dan lokasi dijangka akan dibuat di salah sebuah ladang kelapa sawit berhampiran lokasi Jambatan Bagan Datuk yang sedang dalam pembinaan.

“Hampir pasti kilang tersebut akan dibina dan saya sendiri akan terlibat dalam membawa pelabur luar untuk kilang ini, dan dijangkakan sebanyak 400 ekar tanah sedang dirundingkan oleh pihak terlibat bagi proses pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika berucap dalam Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Perkarangan Kediaman Fauzi Siraj, Kampung Sungai Tiang Darat, pada petang Ahad.

Ahmad Zahid justeru meminta agar golonga anak muda di sekitar Bagan Datuk untuk melihat perancangan tersebut sebagai satu peluang dan menyahut cabaran itu.

Katanya, beliau sendiri akan meminta keutamaan khusus diberikan oleh syarikat berkenaan kepada anak-anak kelahiran Bagan Datuk.

“Kita telah mempunyai sebuah kolej yang menumpukan bidang kejuruteraan marin justeru untuk kolej komuniti, kita akan wujudkan khusus bagi bidang automobile atau bidang membuat kenderaan,”katanya lagi.

Ahmad Zahid juga berharap, agar setiap pembangunan dan kemajuan yang dikecapi di setiap penjuru daerah Bagan Datuk itu dilakukan untuk dinikmati bersama oleh penduduk setempat yang kebanyakannya berada di luar bandar.

“Yang penting, kita lakukan bukan untuk diri kita tetapi anak cucu dan generasi Bagan Datuk akan datang.

“Saya harap kemajuan yang harus seimbang ini mesti diusahakan oleh orang kampung sendiri, kita mesti terus menikmati kemajuan dan pembangunan di daerah kita, kita tidak hanya mahu menjadi pemerhati kepada kemajuan ini,”katanya lagi.

Sementara itu Ahmad Zahid tiba di perkarangan rumah Fauzi sekitar jam 5.30 petang bagi beramah mesra serta minum petang bersama lebih 500 penduduk yang hadir.