KUALA LUMPUR: Sebuah kilang memproses mi kuning di Bandar Tun Razak di sini, diarah tutup operasi selama dua minggu, selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata selain tahap kebersihan, pekerja kilang berkenaan gagal mematuhi etika pemakaian sewajarnya.

“Dalam pemeriksaan oleh Unit Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL bermula jam 10.30 pagi tadi, mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan.

“Malah, pengendali makanan, iaitu sembilan warga asing tidak mematuhi etika pemakaian sebagai pengendali makanan. Lantai premis juga kotor serta berdaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Hisham berkata, pemeriksaan juga mendapati mi yang siap dibungkus diletakkan di atas lantai selain keadaan premis tidak tersusun dan tiada amalan FIFO (First In First Out) dalam stor bahan Makanan kering.

Katanya, pegawai turut mengesan kehadiran haiwan seperti tikus di premis berkenaan.

“Justeru pegawai penguat kuasa terpaksa mengambil tindakan dan mengeluarkan Notis Perintah Premis Tidak Suci mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, katanya. -BH