KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air merobohkan struktur bangunan yang terdapat di tanah tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Tegasnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak juga akan mengeluarkan Notis 7A selepas ia menjadi punca yang menjejaskan 1.97 juta akaun air di seluruh Lembah Klang dan Selangor.

“Kita arahkan pemilik untuk pulihkan, iaitu kosongkan tanah. Maknanya mereka kena robohkan bangunan itu. Sampai tempoh tertentu, kalau tak ada, kita akan robohkan

“Operasinya, pihak majlis akan tengok sesuai atau tidak dan sebagainya. Pada masa ini, kita akan tutup paling kurang dalam tiga, empat bulan sebelum ia betul-betul selamat.

“Saya rasa, setelah dua kejadian, kita akan semak segenap mungkin supaya kilang itu tidak beroperasi kerana mereka telah menyusahkan 1.97 juta akaun di seluruh negeri Selangor,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaporan Penuh Situasi Semasa Berhubung Isu Pencemaran Air di Bangunan Air Selangor di sini.

Malah, jelas Amirudin, pihaknya juga telah mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan sewajarnya.

Selain itu, beliau turut meminta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan air dan elektrik bagi mengelak premis tersebut beroperasi semula – AWANI