SIMPANG PULAI: Perak telah mewujudkan sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusaan (CPPC) hasil pertanian di tanah tinggi terbesar dalam negara.

585b978b-5d2e-4ef0-8512-472516156a72Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pusat itu dibangunkan oleh Agroto Business (M) Sdn Bhd sekaligus bakal mengurangkan kebergantungan negeri terhadap produk-produk pertanian seperti sayur berkualiti tinggi yang sebelum ini diimport dengan kos jutaan ringgit.

“Pusat yang berkeluasan 2,600 ekar dan berketinggian 1,500 meter dari paras laut ini akan menjalankan pelbagai aktiviti daripada menanam produk pertanian, pembungkusan sehingga ke rantaian bekalan.

“Kita juga menyasarkan dalam masa dua tahun peningkatan hasil dari CPPC ini akan mencecah 6,000 metrik tan sebulan dan dijadikan contoh oleh pihak-pihak lain,” katanya kepada sidang media selepas majlis perasmian CPPC itu di Kinta Highlands dekat sini, hari ini.

117eaaf7-7f6a-4511-a56a-3d1220a07836

Majlis perasmian Agroto CPPC disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Turut berkenan mengiringi keberangkatan Baginda ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Baginda berdua turut berkenan melawat di sekitar pusat tersebut disusuli dengan lawatan ke Fertilizer Pump House, kebun sayur, pusat penanaman Green & Red Coral House dan pusat penanaman anggur.

Projek itu yang dibangunkan oleh Agroto Business (M) Sdn Bhd, merupakan projek usahasama di antara kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dengan Orchard (M) Sdn Bhd.

Tambah Menteri Besar, CPPC Agroto itu menggunakan teknologi pertanian terbaharu serta tercanggih dari luar negara.

“Teknologi fertigasi dari Belanda diguna pakai ketika ini manakala kaedah pembenihan pula dari Itali.

“Dalam masa sama, pusat ini juga dibangunkan dengan pematuhan standard piawaian yang tinggi serta ketat, kita mengikut segala prosedur bagi memastikan penjagaan alam sekitar turut dapat diamalkan,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Agroto, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, CPPC merupakan projek yang menggabungkan teknologi pertanian moden dan tradisional melalui konsep rumah hijau serta penanaman secara terbuka.

“Antara kelebihan pusat ini adalah penggunaan mesin penggredan tomato yang berfungsi mengasingkan tomato mengikut saiz secara automatik.

3fe8a2f4-18ec-4e08-bbae-0968c3ac189c

“Penggunaan mesin ini sudah pasti mempercepatkan masa pengkelasan di samping lebih efisyen dalam menjimatkan tenaga kerja, sekaligus lebih menjamin keberkesanan kos,” katanya ketika menyampaikan sembah taklimat pada majlis itu.

Tambah beliau, diharapkan dengan kewujudan pusat itu akan melonjak produk-produk pertanian negeri ke persada antarabangsa.

“CPPC ini berupaya untuk mengendalikan 500 ekar input ladang pada satu-satu masa yang bersamaan dengan 5,000 tan metrik sebulan,” ujarnya.

Ahmad Shalimin berkata, setakat ini, Agroto telah menerima pengiktirafan dengan penerimaan pensijilan ISO, Hazard Analysis and Critical Control Point (HCCP) dan Good Manufacturing Practice (GMP).

“Sehingga kini terdapat banyak produk sayuran Agroto seperti kobis, timun Jepun, Salanova, tomato dalam rangkaian pasaraya tempatan seperti Giant, Cold Storage dan AEON.

“Kita juga telah mendapat pengiktirafan yang mana sayur-sayur dihasilkan pusat ini setanding taraf antarabangsa,” jelas beliau.