KUALA LUMPUR : Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengugut mahu mencetuskan kekacauan pada persidangan membantah tulisan Jawi yang sepatutnya berlangsung di Kolej New Era hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, persidangan tertutup anjuran Dong Jiao Zong itu tidak sepatutnya dibatalkan walaupun pihak polis berhadapan dengan tekanan serta ugutan yang tidak bertanggunjawab dari pelbagai pihak.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini Wawasan 2020 yang akan bermula empat hari lagi  tidak akan dapat dicapai pada tahun depan, moga lebih ramai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan wilayah berusaha menjadi Bangsa Malaysia dan menyelesaikan krisis isu Jawi dengan kaedah yang aman dan sepakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas mengenai pembatalan persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular berikutan perintah mahkamah yang diperoleh polis petang semalam.