KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 Disember ini untuk pengurusan kes saman Penasihat DAP, Lim Kit Siang, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, yang didakwa mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya di sebuah konvensyen.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Shaharudin Ali mewakili Mohammed Hanif, yang ditemui ketika pengurusan kes itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Siti Norhidayah Mohd Noor di sini.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan tuntutan balas dan pembelaan pada 5 Disember manakala Kit Siang diarahkan untuk menjawab pada 19 Disember ini. Peguam Harshaan Zamani hadir mewakili Kit Siang.

Pada 17 Oktober lalu, Kit Siang sebagai plaintif memfailkan saman terhadap Mohammed Hanif (defendan) pada 17 Oktober lalu.

Beliau mendakwa defendan hadir sebagai ahli panel di Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September lalu.

Beliau mendakwa defendan secara salah atau berniat jahat mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya dan ia ada diterbitkan di media massa.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa perkataan fitnah itu adalah sebahagian daripada transkrip ucapan defendan di konvensyen itu yang diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian serta portal berita, Malaysiakini dan Free Malaysia Today.

Kit Siang mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau tidak beretika dan berniat untuk memecahbelahkan kaum Melayu dan Cina.

Beliau juga mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP memisahkan dan/atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum.

Plaintif mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar, palsu serta berniat jahat. Kit Siang juga mendakwa akibat siaran dan pengedaran fitnah itu, imej dan reputasinya tercemar.

Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta permohonan maaf selain menuntut penarikan balik perkataan fitnah serta injunksi bagi menghalang defendan mengulangi penerbitan perkataan fitnah itu – berita harian