KUALA LUMPUR – Perbicaraan hari pertama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan dakwaan penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram yang memulakan perbicaraan dengan penyataan pembukaan berikrar akan membuktikan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Najib sebenarnya satu pasukan dalam melakukan penyelewengan berbilion ringgit dana pelabur.

Dakwa Gopal Sri Ram, Jho Low sebenarnya adalah ‘bayangan’ Najib, yang mana seandainya Najib diletakkan di depan cermin, Jho Low akan kelihatan dan begitulah sebaliknya.

Kata Gopal Sri Ram, Najib yang ketika itu masih lagi memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan telah menggunakan kuasa itu untuk menyalurkan dana ke dalam akaun sendiri, selain ‘menutup’ jejak tersebut.

Jelasnya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa telah mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan dirinya dibawa ke muka pengadilan, selain mengganggu penyiasatan pihak berkuasa terhadap syarikat milik kerajaan itu.

“Kami pasukan pendakwaan akan menunjukkan fakta serta bukti tentang apa yang saya nyatakan ini bahawa Najib dan Jho Low tidak boleh dipisahkan.

“Kedua-dua mereka adalah satu pasukan sepanjang masa.

“Ketika kes ini dilaporkan sekitar Julai 2015, Najib telah melakukan apa yang perlu untuk menutup jejak serta melakukan perkara-perkara lain bagi memastikan jenayah-jenayah ini tidak dikesan langsung.

“Antara contoh dengan memalsukan dokumen kononnya ada derma daripada seorang putera Arab. Juga ada surat dan empat cek dengan jumlah AS$25 juta didakwa ditulis penderma Arab.

“Tetapi cek ini tidak pula ditunaikan, kita akan buktikan semua ini sepanjang perbicaraan ini, kami juga akan buktikan bagaimana tertuduh menggunakan kuasanya mencampuri penyiasatan skandal 1MDB ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Terdahulu, ketua pasukan bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit berhujah mempersoalkan pelantikan bekas hakim Gopal Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan kerana Isnin lepas mahkamah rayuan telah membenarkan pihaknya untuk persoal lantikan beliau di bawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah.

“Saya bukan mahu tangguh perbicaraan tetapi hanya memberitahu kenyataan mahkamah Isnin lepas. Sekiranya rayuan kita berpihak kepada anak guam saya maka perbicaraan ini juga akan dianggap tidak sah,” katanya.

Bagaimanapun, Gopal Sri Ram tidak mempedulikan Muhammad Shafee sebaliknya memulakan penyataan pembukaan perbicaraan 1MDB sebentar tadi.