KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu memakai gelang pengawasan dalam tempoh kuarantin kendiri 14 hari ketika ini.

Ia berdasarkan keputusan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah membuat penilaian, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Berdasarkan penilaian risiko yang dibuat pada 5 Okt lepas, Perdana Menteri hanya dinasihati menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau,” kata PMO dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Muhyiddin juga perlu memantau status kesihatan sendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan Home Assessment Tool dalam aplikasi My Sejahtera.

Atas sebab itu, PMO berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa Perdana Menteri melanggar arahan KKM, adalah tidak benar sama sekali.

Semalam, ketika Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, beberapa pihak mendakwa Muhyiddin tidak memakai gelang pengawasan sedangkan beliau berada dalam tempoh kuarantin kendiri.

Dalam pada itu, PMO berkata, selain ujian saringan yang dilakukan pada 5 Oktober, Muhyiddin telah melakukan tiga kali ujian iaitu pada 22, 26 dan 29 September, dan kesemua hasilnya didapati negatif.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, Muhyiddin dinasihat segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala sepanjang tempoh pemantauan tersebut.