IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana wakil atau ejen untuk menjual papan tanda larangan merokok di semua premis makanan susulan penguatkuasaan larangan itu mulai esok. Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya hanya menetapkan spesifikasi papan tanda berukuran 40 sentimeter (cm) lebar dan 50cm panjang.

“Kementerian tidak ada wakil jual papan tanda ini. Ada menjualnya dengan harga RM10 sekeping. Tetapi sesiapa yang guna poster (peniaga) boleh buat tanpa kos kepada kementerian dengan spesifikasi papan tanda yang telah ditentukan. “Sudut meletakkan papan tanda tidak penting asalkan ada papan tanda larangan merokok.

Ada yang bertanya boleh ke tambah bahasa Cina, Tamil dan Inggeris, serta tambahan perkataan ‘dilarang merokok denda RM10,000’, itu pun tiada masalah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Gotong-royong Membanteras Wabak Denggi di Padang Taman Rasa Sayang di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.

Menurutnya, kegagalan mempamerkan papan tanda itu, peniaga boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 manakala, perokok pula boleh didenda sehingga RM10,000 “Jumlah papan tanda yang perlu di pamerkan, biasa satu sudah cukup di kawasan ketara (yang mudah dilihat).

Tidak perlu tampal setiap meja,” katanya. Boon Chye berkata, peraturan baharu itu diperluaskan bertujuan untuk melindungi hak bukan perokok agar bebas daripada asap rokok. “Rokok memudarakatn kesihatan dan di Malaysia, dianggarkan 20,000 orang mati setiap tahun dengan kos rawatan dianggarkan RM7.4 billion bagi merawat penyakit yang berpunca daripada rokok,” katanya.

Sementara itu, Howard berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada operator makanan akan usaha pihak tertentu mengambil peluang mengaut keuntungan dengan menyamar sebagai wakil kerajaan.

“Ada yang menggunakan nama kementerian dan parti untuk menjual poster dan papan tanda larangan merokok ini kononnya membantu orang ramai agar tidak dikenakan denda. “Sedangkan peniaga boleh mencetak sendiri papan tanda itu.

Memang tiada usaha mengaut keuntungan daripada perlaksanaan peraturan baharu ini malah, MBI sendiri menampal secara percuma di gerai makanan di bawah kendaliannya,” kata Adun Pasir Pinji itu.