LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata dia kagum dengan tahap ditetapkan Liverpool pada permulaan kempen mempertahankan gelaran Liga Perdana selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Arsenal 3-1 di Anfield.

Gol daripada Sadio Mane, Andy Robertson dan Diogo Jota menafikan Gunners, yang menang dua perlawanan pembukaan mereka dalam liga musim ini.

“Masih terlalu awal buat musim ini dan dengan persembahan seperti ini ia amat ‘wow’,” kata Klopp.

“Sejak pusingan pertama, (ia aksi) dominan ditunjukkan berdepan pasukan yang berada dalam prestasi baik. Kami mesti amat berhati-hati terhadap serangan balas pantas.

“Bola sepak yang kami mainkan amat menakjubkan. Mengenai perlawanan malam ini, tiada apa yang buruk untuk diperkatakan.”

Arsenal sukar mencari kemenangan seperti disaksikan apabila tewas 4-0 dan 5-1 di Anfield pada 2018 dan 2019, namun Mikel Arteta kembali memberi kepercayaan terhadap pasukan yang memenangi Piala FA itu.

“Apabila anda datang ke Anfield, anda tidak akan mendapat 10 peluang. Apabila anda satu berdepan satu dengan penjaga gol, anda perlu menjaringkan gol,” kata Arteta ketika Liverpool melebarkan rentetan kemenangan mereka di laman sendiri dalam Liga Perdana kepada 61 perlawanan. – AFP