KLUSTER Maju yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini tiga kes positif direkodkan membabitkan dua pekerja dan pelanggan.

“Dua kes pertama dari kluster itu iaitu kes ke-9,176 dan kes ke-9,177 yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

“Mereka adalah pekerja di restoran berkenaan yang dikesan hasil saringan rawak dijalankan sekitar bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, saringan kontak rapat dijalankan sebelum mendapati seorang pelanggan restoran itu positif.

“Pelanggan itu mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala pada 17 Ogos lalu. Dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Setakat ini hanya tiga kes positif hasil saringan dilakukan terhadap 672 orang termasuk 16 pekerja dan 656 pelanggan,” katanya.

Katanya, aktiviti pengesanan kes aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan, serta melakukan langkah kawalan seperti proses nyah kuman di restoran berkenaan.

Mengenai Kluster Tawar di Kedah, Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kes positif baharu dikesan menjadikan jumlah kes positif dari kluster itu sebanyak 58 kes.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari ini seramai 2,733 orang disaring iaitu 2,256 di Kedah, Pulau Pinang (466) dan Perak (11) dengan 249 masih menunggu keputusan.