Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Kakak S Nirmala, yang kini ditahan di Korea Utara bersama-sama rakyat Malaysia, masih berasa risau menantikan panggilan adiknya sehingga hari ini.
S Komala Theinmoni, 48, kini masih lagi runsing dan berharap agar dia dapat berhubung dengan adiknya secepat mungkin berikutan ketegangan yang melanda buat masa ini.

“Memang saya harapkan Nirmala hubungi saya, bila dia sendiri telefon dan kata semuanya selamat, baru hati saya betul-betul leganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Khamis malam.

Menurut Komala, anak sulungnya ada bertanya khabar kepada Nirmala pada malam Rabu lalu di laman sosial namun tidak mendapat jawapan.

Sehingga semalam, masih tiada khabar berita adiknya yang kali terakhir menghubungi kakak sulung mereka di Bercham, Ipoh, pada pagi Rabu lepas.

Komala bagaimanapun berasa sedikit lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghubungi Korea Utara bagi membincangkan perkara tersebut.

“Bila dapat tahu Perdana Menteri sendiri hubungi kerajaan di sana, memang saya rasa sedikit lega, lagipun kawan-kawan dan pelanggan di Pasar Besar Kuala Kangsar banyak memberi semangat kepada kami.

“Bila mereka datang ke gerai, mereka pujuk kami, usap bahu kami dan minta supaya jangan terlalu risau kerana semuanya pasti baik.

“Sekarang rasa semakin lega berbanding semalam, apapun saya harapkan Nirmala hubungi saya,” ujarnya.

Menurut Komala, kerinduan terhadap adiknya masih terasa apatah lagi dia ada melihat gambar terbaru adiknya yang kini sudah berambut panjang.

“Adik saya ada datang ke rumah petang tadi (Khamis), ketika berbual, kami ternampak gambar terbaru Nirmala bersama rakan sekerjanya dalam laman web kementerian.

“Mungkin mereka ada program makan-makan, rambut dia sudah panjang berbanding gambar yang dipaparkan dalam akhbar, itu gambar pada 2015, rambut dia pun pendek lagi.

“Rindu betul pada Nirmala bila nampak gambar terbaru dia, cantik betul adik saya bila dia berambut panjang seperti itu,”  katanya.