IPOH: Semua bangunan dan agensi kerajaan, premis perniagaan serta persendirian di negeri ini diwajibkan mengibarkan bendera negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang akan disambut pada 6 November ini.

Pengibaran bendera negeri Perak di premis masing-masing adalah sebagai lambang taat setia kepada Raja Pemerintah.

Menurut kenyataan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pada Isnin,bangunan kerajaan dan premis perniagaan juga digalakkan menyalakan lampu sehingga jam 12 tengah malam pada 5 November bagi menceriakan suasana sambutan.

Katanya lagi, tindakan kompaun akan diambil oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap pemilik premis perniagaan yang tidak mematuhi arahan mengibarkan bendera negeri Perak di premis masing-masing.

Jelasnya tindakan itu adalah langkah terakhir yang akan diambil oleh MBI setelah usaha menasihati gagal dipatuhi oleh pemilik premis perniagaan di bandar raya ini.