Shah Alam: Terlupa menekan brek dipercayai menjadi punca sebuah tren komuter merempuh platform di Stesen Pelabuhan Klang pagi kelmarin hingga mengakibatkan beberapa jadual perjalanan mengalami kelewatan.

Dalam kejadian jam 6.09 pagi itu, pemandu terbabit baharu sahaja mahu memulakan perjalanan pertama ke KL Sentral yang dijadualkan pada jam 6.13 pagi.

Sumber berkata, perjalanan pertama terpaksa dibatalkan susulan kejadian itu.

“Jadual perjalanan kedua yang sepatutnya bermula jam 6.40 pagi terlewat selamat 10 minit iaitu jam 6.50 pagi dan diikuti perjalanan ke tiga pada jam 7.20 pagi.

“Jadual perjalanan ke empat ke KL Sentral kembali normal mengikut jadual asal iaitu pada jam 7.40 pagi,” katanya.

Sumber berkata, kejadian terbabit tidak begitu memberi kesan kepada penumpang kerana ketika kejadian kira-kira 10 penumpang sahaja yang sedang menunggu untuk menaiki tren pertama.

“Stesen ini bukan tumpuan dan penumpang pun tidak ramai ketika kejadian memandangkan di sekitar kawasan ini tiada kawasan penempatan penduduk berbanding stesen lain. Tambahan pula, ramai yang sudah cuti pulang ke kampung halaman,” katanya.

Beliau juga mendakwa, kejadian seumpama itu adalah ketiga berlaku dalam tempoh lebih 15 tahun.

Susulan kejadian itu juga, pihak KTM Berhad menerusi Facebooknya membuat pengumuman pada jam 6.35 pagi semalam berhubung kejadian itu.

Dalam pengumuman itu, pihaknya memaklumkan terdapat kelewatan tren Komuter (Pelabuhan Klang – KL Sentral) dengan purata kelewatan adalah 15 minit disebabkan kerosakan gerabak di Stesen Pelabuhan Klang.

KTM Berhad juga memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.