KUALA LUMPUR : Wakil rakyat DAP menyifatkan bukan masa terbaik untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasmikan Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Ahad ini.

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago mengingatkan Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bahawa beliau adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

“Mahathir telah berkali-kali berkata beliau adalah Perdana Menteri bagi semua rakyat Malaysia dan ini adalah masa yang paling sesuai untuk mengotakan janji itu.

“Dan dia adalah PM Pakatan Harapan yang berasaskan kesaksamaan untuk semua,” katanya kepada

Charles berkata dakwaan penganjur bahawa Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, akan menghadiri kongres berkenaan atas kapasitinya sebagai pemimpin Melayu sekadar “sembang kosong”.

“Program seperti itu akan memburukkan lagi ketegangan dalam masyarakat,” katanya.

Terdahulu, bekas menteri di jabatan perdanan menteri, Zaid Ibrahim juga berpendapat bahawa Mahathir tidak sepatutnya merasmikan kongres berkenaan kerana ia akan menimbulkan spekulasi.

Zaid juga tidak bersetuju dengan tuntutan pihak penganjur bahawa kongres itu adalah tindak balas kepada pihak tertentu yang mencabar dan mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini, ketua eksekutif sekretariat kongres berkenaan Zainal Kling berkata orang Melayu kini berasa kurang senang dengan sesetengah pihak yang mempersoalkan kedudukan hak Bumiputera, agama Islam, raja-raja Melayu, bahasa kebangsaan serta isu-isu kebudayaan.

Semalam, PAS mengesahkan Presidennya Abdul Hadi Awang akan menghadiri kongres berkenaan, namun Umno yang turut dijemput belum membuat keputusan sama ada untuk hadir ataupun tidak.